10 calon ‘cun’ pada PRU ini
Ini menjadikan 251 orang daripada keseluruhan 2,333 calon PRU14 adalah wanita sama ada mewakili kerusi Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN)

Pilihan raya umum ke-14 (PRU14) mencipta pelbagai sejarah termasuk sebagai PRU yang menampilkan calon wanita terbanyak.
BN sahaja menampilkan 92 calon wanita berbanding 40 calon pada PRU13; Pakatan Harapan dengan 85 calon wanita daripada 660 calon yang bertanding; PAS mempunyai 36 calon wanita daripada jumlah 548 calon yang bertanding.
Parti Warisan menampilkan 9 calon wanita, Harapan Rakyat (7); Parti Rakyat Malaysia (5); Penang Front Party (3); People’s Action Party (2); Parti Cinta Sabah (2) dan 5 wanita bertanding sebagai calon bebas.
Ini menjadikan jumlah keseluruhan wanita dicalonkan untuk bertanding sama ada kerusi Parlimen atau DUN adalah 251 orang daripada jumlah keseluruhan 2,333 calon.
Daripada jumlah itu, beberapa orang wanita dikatakan menjadi perhatian sepanjang PRU ini sama ada pertama kali menjadi calon, masih muda dalam arena politik dan kerancakan mereka berkempen dengan gaya dan semangat tersendiri.
Mari kita intai 10 personaliti wanita yang “cun” belaka:

Jo Anna Henley Rampas
Ratu Cantik Ngadai Kaamatan 2007, Jo Anna Henley Rampas dari Sabah menjadi calon Warisan DUN Kiulu pada PRU kali ini.
Sudah berkahwin dengan ahli perniagaan dari Kajang, Jo Anna berasal dari Kampung Poturidong, Kiulu dan berbangsa Dusun.
Beliau mendapat pendidikan Bachelor of Laws daripada University of London dan melanjutkan pelajaran di University of the West of England dan memperoleh Master of Laws in International Law and Corporate Social Responsibility.
Menurut Jo Anna, beliau aktif dalam Warisan selepas diperkenalkan Timbalan Presiden Warisan, Darell Leiking, 2 tahun lalu.

uwairiya Zulkifli
Nama Juwairiya Zulkifli tiba-tiba menjadi buah mulut selepas wanita yang berusia hanya 33 tahun itu diminta ke depan apabila kertas pencalonan calon pilihan terdahulu tidak menepati peraturan.
Juwairiya tetap dilihat calon yang layak berdepan penyandang, Jakiran Jacomah dari BN dan calon PAS, Muhammad Rashid Muhammad Kassim sekali gus satu-satunya calon wanita Melayu di DUN Bukit Melawati sejak 2008.
Aktif dalam pelbagai aktiviti politik sejak 2 tahun lalu, nama Juwairiya akhirnya menjadi pilihan PKR mewakili PH, menjadikan wanita muda itu seorang lagi wanita dalam PRU14.
Juwairiyah berkata akan mengetengah isu seperti GST, isu masyarakat setempat membabitkan nelayan untuk PH menang di DUN Bukit Melawati termasuk Parlimen.


Misma Appehdullah
Calon BN Mizma Appehdullah mendapat mandat di kerusi DUN Tungku pada PRU akan datang.
Mizma meletakkan objektifnya memperkasakan golongan wanita di samping membawa lebih banyak pembangunan dan kemajuan di kawasan berkenaan.
“Jika saya menang, saya akan datang dan berusaha membawa lebih banyak pembangunan di sini termasuk kerja menaik taraf jeti Tambisan darat,” ujarnya.

Jamaliah Jamaludin
Jamaliah Jamaludin berumur 29 tahun membesar di Lembah Klang dan lepasan Northwood University, Amerika Syarikat serta pernah berkhidmat sebagai ahli Majlis Bandaraya Petaling Jaya sejak 2016.
Beliau lebih dikenali sebagai cucu bekas pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM) Shamsiah Fakeh, akan bertanding di DUN Bandar Utama.
Jamaliah berkata dia yang menyertai DAP sejak awal tahun 2016, berkata ia parti yang memperjuangkan hak dan kepentingan rakyat tanpa mengira bangsa, agama, jantina dan pendapatan.

Michelle Ng
Pertama kali melibatkan diri dalam PRU sebagai pengganti Hanna Yeoh di kerusi Subang Jaya, Michelle Ng dikatakan mampu membawa momentum yang sama seperti penyandang terdahulunya.
Bagi mereka yang tidak mengenali gadis muda berusia 28 tahun ini, dia merupakan peguam dan setiausaha biro perundangan DAP, bertugas dalam beberapa lapangan seperti mahkamah, polisi dan perguaman.
Keluarganya pernah berhijrah ke New Zealand, pada waktu itu Michelle hanya 12 tahun. Kemudian ketika melanjutkan pelajaran dalam bidang undang-undang di London School of Economics di UK, dia mendapat sokongan keluarga untuk terus menetap di sana pula.




Namun wanita ini akui “rumahnya” adalah Malaysia dan mengambil keputusan pulang pada 2013, menjadi peguam pada 2014 dan menyertai DAP pada 2015.

Heng Sinn Yee
Calon yang dipertaruhkan oleh BN untuk kerusi Parlimen Cheras, Sinn Yee sebenarnya masih lagi dalam tempoh berpantang selepas melahirkan anak pada 5 April lalu.
Apapun beliau terus turun padang bertemu pengundi secara aktif untuk merampas kerusi yang menjadi milik DAP selama ini.
Beliau menjadi ahli MCA sejak 12 tahun yang lepas, berjanji untuk memperjuangkan pelbagai isu daripada 10 manifesto yang dilancarkan antaranya isu berkaitan masalah penjaja dan penduduk, menaik taraf infrastruktur seperti pasar awam, kerosakan jalan, masalah perparitan dan kesesakan trafik.
Chan Quin Er
Hanya berusia 31 tahun tetapi sudah bersedia berdepan salah satu kawasan paling hangat milik DAP, Seputeh.
Chan Quin Er pernah berkhidmat dengan Majlis Peguam Negara sejak 2014 hingga Mac 2018 dalam bidang perkhidmatan awam berkata sasarannya hanya untuk berkhidmat kepada rakyat.
Menerusi pembabitan dalam politik dan PRU, beliau percaya ia lebih dekat, langsung dan mudah.
Anak jati Jalan Klang Lama itu, lebih tepat membesar di sekitar Taman Gembira dan Taman Overseas Union bersedia berjuang demi pengundi yang mahukan perubahan di kawasan Seputeh.

Siti Mastura Muhammad
Calon termuda PAS bagi kawasan Parlimen Kepala Batas ini merupakan ahli perniagaan dan sedang melanjutkan pengajian dotor falsafah dan Pembangunan dan Pengurusan Islam bersemangat untuk meningkatkan mutu sekolah asrama di negara ini selain sistem dana pendidikan.
Timbalan ketua Dewan Muslimat Pulau Pinang PAS yang berusia 29 tahun berjanji untuk menarik golongan muda dan semua lapisan masyarakat di kawasannya.

Mohana Muniandy
Sudah lebih 20 tahun berkecimpung dalam dunia politik di bawah payung MIC, ketua Wanita parti itu akhirnya diberi mandat bertanding kerusi Parlimen Kapar untuk PRU14 mewakili BN.
Beliau yang berlatar belakangkan pendidikan sarjana dalam bidang perakaunan, pernah berkhidmat sebagai pensyarah kanan di sebuah kolej antarabangsa.
Berpengaruh besar dalam kalangan wanita India, Mohana menyenaraikan beberapa manifesto untuk pembangunan pengundi Kapar termasuk “Kasih Kapar” yang disebut-sebut sebagai penarik pengundi.
http://www.freemalaysiatoday.com/cat...-pada-pru-ini/